PRIBUMI PERKASA MELAKA

Managed by :ABD RAHIM BIN OSMAN

YDP PERKASA PRIBUMI MELAKA

Monday, October 18, 2010

Barisan Nasional = Perikatan

 BEKAS PIMPINAN PERIKATAN & BARISAN NASIONAL







Parti Perikatan ialah sebuah parti politik Malaysia yang dimulakan oleh orang Melayu yang bersatu di bawah presiden UMNO, Tunku Abdul Rahman Putra, untuk satu tujuan, iaitu berjuang bagi mendapat kemerdekaan dan kebebasan daripada penjajah British untuk Tanah Melayu. Kaum Cina dan India, bergabung dengan orang Melayu untuk tujuan yang sama. Gabungan parti itu menggunakan lambang "Kapal Layar". Parti ini berjaya untuk memperoleh pemerintahan sendiri daripada pihak British dan menjalankan pemerintahan demokrasi sehingga hari ini. Parti ini juga berjaya memperoleh kemerdekaan daripada pihak British untuk Sabah dan Sarawak. Parti Perikatan inilah kemudian bertukar kepada Barisan Nasional yang merupakan sebuah parti politik yang terdiri daripada pelbagai kaum, agama, budaya yang kuat, berjaya, dan mempunyai matlamat yang kukuh dan tersendiri.

Sejarah

Setelah menyedari kesusahan yang harus dilalui untuk mendapatkan kebebasan, pemimpin Melayu kemudian membawa masuk masyarakat bukan Melayu untuk berjuang bersama-sama. Ini adalah bertujuan agar semua kaum dapat mengetahui kepentingan kebebasan dan kesusahan yang perlu dilalui untuk mendapatkannya. Dengan kebijaksanaan dan matlamat yang menekankan objektif jarak jauh, arena politik tempatan harus ditubuhkan dengan segera.
Kaum Melayu menyedari bahawa mereka memerlukan sebuah parti politik sebagai jentera untuk mengatasi sengsara mereka dan dengan ini tertubuhlah UMNO pada 11 Mei 1946. Kaum lain juga berpendapat sedemikian. Hasilnya, sebuah parti perikatan gabungan UMNO dan Persatuan Cina Malaysia (MCA) yang diterajui oleh Tunku and Tun Tan Cheng Lock ditubuhkan. Pertubuhan memulakan ujian pertama pada tahun 1952 ketika Pilihanraya Majlis Bandaraya Kuala Lumpur di mana Parti Perikatan ini mencapai kemenangan yang menyakinkan.
Konsep penggabungan ini menghasilkan kejayaan yang menakjubkan dan ini menarik Kongres India Se-Malaysia (MIC) untuk memasuki perikatan ini. Perikatan ini kemudiannya bertanding dalam Pilihanraya Pertama pada 27 Julai 1955 dan memenangi 51 kerusi daripada 52 kerusi yang dipertandingkan. Perikatan tersebut diberikan keutamaan untuk menubuhkan kerajaan pertama di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri pertama. Beliau kemudian menubuhkan Kabinet Menteri yang dilantik daripada pelbagai kaum di Malaysia. Perikatan ini merupakan percubaan yang berani yang diilhami oleh Tunku, Tun Tan Cheng Lock and Tun Sambanthan.

Didaftarkan

Pada 30 Oktober 1957, Parti Perikatan yang dianggotai oleh UMNO, MCA dan MIC dengan rasminya didaftarkan sebagai sebuah pertubuhan politik. Pendaftaran secara rasmi Parti Perikatan ini menjadikan parti tersebut sebagai sebuah badan yang sah dan dapat bergerak sebagai sebuah parti pemerintahan schingga membentuk satu asas yang kukuh kepada tampuk pemerintahan negara sehingga sekarang.
Mengikut perlembagaan Parti Perikatan yang didaftarkan ini, keahliannya terbuka kepada sebarang parti yang bersifat kebangsaan. Sementara itu, sebuah Majlis Kebangsaan yang mengandungi 16 orang wakil daripada UMNO, 16 orang wakil daripada MCA dan 6 orang wakil daripada MIC bertanggungjawab untuk mengelolakan parti ini.
Parti Perikatan Tanah Melayu telah membentuk aliran sejarah negara ini dan permulaan perjuangannya ialah menuntut, mendapat dan menegakkan kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu pada 31 Ogos 1957. Parti Perikatan ini seterusnya mencatatkan sejarah dengan terbentuknya Persekutuan Malaysia pada 16 September 1963.






Kerjasama Kaum

Kerjasama pelbagai kaum di bawah perikatan ini amat berkesan dan diterima oleh semua orang sehingga gabungan parti ini merupakan satu kekuatan baru bagi permerintahan demokrasi. Penggabungan kaum, pembahagian kuasa dan penyatuan antara kaum di Tanah Melayu mendapat sokongan daripada semua orang. Semua pemimpin daripada pelbagai kaum mempunyai matlamat bahawa Kemerdekaan Tanah Melayu tidak dapat diperolehi tanpa penyatuan kaum bagi tujuan keharmonian dan keamanan.
Rumus Parti Perikatan diperbesarkan di bawah kerjasama orang Melayu dan orang bukan Melayu di seluruh negara. Konsep ini disebarkan di peringkat wilayah dan negeri. Gabungan pelbagai parti menubuhkan Barisan Nasional (BN) yang didaftarkan pada 1 Julai 1974.



KONTRAK SOSIAL - Kembali Memahami


Sejarah


Pendahuluan


Kontrak sosial seharusnya tidak perlu dipersoalkan oleh mana-mana pihak. Formula kontrak sosial antara kaum telah dipersetujui oleh semua pemimpin negara yang berbilang bangsa ketika negara mencapai kemerdekaan. Adalah tidak wajar jika kontrak sosial dianggap sebagai suatu diskriminasi kaum, sebaliknya ia menjadi satu formula terbaik bagi mewujudkan keseimbangan sosial di negara ini yang mempunyai masyarakat berbilang kaum, agama dan budaya. Keamanan yang dikecapi rakyat sehingga ke hari ini merupakan jaminan kepada negara untuk terus maju ke hadapan.

Kontrak sosial

Kontrak sosial merupakan satu istilah permuafakatan antara kaum yang dicapai sebelum merdeka melalui satu persetujuan di kalangan rakyat dan pemimpin yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India. Pemeteraian kontrak sosial ini juga turut disertai dan dipersetujui oleh parti-parti yang mereka wakili iaitu UMNO, MCA dan MIC. Istilah ini sebenarnya tidak wujud dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 tetapi dari perspektif lain, kontrak sosial sememangnya wujud dalam sejarah negara dan permuafakatan yang dicapai itulah yang mentakrifkan negara kita dan seterusnya menentukan sifat negara.


Kepentingan kontrak sosial

• Tanpa kontrak sosial tidak ada Perlembagaan.
• Tanpa kontrak sosial mungkin negara tidak dapat mencapai kemerdekaan.
• Kontrak sosial adalah anak kunci kepada hubungan kaum sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan.
• Kontrak sosial juga asas kepada sistem pemerintahan yang menjadikan kita negara Demokrasi Berparlimen, Raja



Berperlembagaan dengan konsep negeri dan persekutuan
.


• Elemen penting kontrak sosial ialah :
o Perlembagaan
o Kemerdekaan
o Hubungan kaum
o Sistem pemerintahan


Permuafakatan


Kontrak sosial dicapai melalui proses muafakat dan musyawarah. Permuafakatan yang dicapai telah mendapat sokongan rakyat sebagaimana yang terbukti melalui kemenangan Parti Perikatan dalam pilihan raya 1955.
Sebahagian masyarakat bukan Melayu menganggap kontrak sosial sebagai sesuatu yang dikaitkan dengan kewarganegaraan yang diberikan kepada mereka yang pada masa itu terdiri daripada imigran atau keturunan imigran.
Generasi bukan Melayu sekarang menganggap kontrak sosial ini sebagai sesuatu yang sudah berlalu. Mereka tidak nampak kenapa ia masih dibangkitkan kerana bagi mereka ia adalah sesuatu yang automatik. Mereka juga tahu bahawa hak istimewa masyarakat bumiputera merupakan sebahagian daripada kontrak sosial. Jika golongan bukan Melayu diberi kewarganegaraan atas syarat-syarat tertentu, masyarakat bumiputera pula diberi perlindungan melalui fasal-fasal dalam Perlembagaan tentang hak istimewa orang Melayu. Masyarakat bukan Melayu perlu memahami kedudukan politik Melayu atau sistem kenegaraan Melayu dan pengaruhnya kepada negara manakala kaum bumiputera pula harus memahami hakikat masyarakat berbilang kaum yang terdapat di negara ini. Hak orang bukan Melayu tidak boleh disangkal kerana mereka telah lama bermastautin, lahir dan membesar di Malaysia. Apa yang penting ialah kedua-dua pihak harus saling memahami.


Apakah bentuk negara kita?


Malaysia merupakan sebuah negara berbilang kaum yang wujud daripada konsep Malay polity atau sistem kenegaraan Melayu. Telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan pada tahun 1957 bahawa kewarganegaraan diberikan secara terbuka kepada mereka yang berhak tanpa mengira latar belakang.
Keterbukaan itu harus difahami oleh semua pihak kerana melalui proses akomodasi para pemimpin pada masa itu, lebih sejuta orang bukan Melayu yang sebahagian besarnya imigran telah diterima secara automatik sebagai warganegara dan diberikan jus soli.


Permuafakatan telah dicapai untuk mewujudkan sebuah negara yang berbilang kaum dengan bahasa dan agama yang pelbagai yang diiktiraf dalam Perlembagaan. Perlembagaan juga mengiktiraf bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, Islam sebagai agama rasmi dan sistem beraja.
Kepentingan Permuafakatan
Asas pembentukan Malaysia ialah permuafakatan. Negara berjaya mencapai muafakat atas sesuatu perkara yang boleh memecah-belahkan masyarakat berbilang kaum. Setiap warganegara perlu menghargai keamanan negara yang masih mampu dipertahankan hingga ke hari ini.

Penutup

Adalah penting bagi generasi kini benar-benar memahami perkara yang tersirat di sebalik kontrak sosial ini. Mereka perlu diingatkan bahawa kontrak sosial ini telah memberi keseimbangan hak setiap kaum di Malaysia bagi menjamin keamanan negara terus berkekalan.